Jelas beliau, Malaysia kini bergerak ke arah demokrasi moden seperti yang diamalkan oleh negara negara maju yang tidak lagi mengongkong rakyat berbanding sebelum ini. 

“Saya melihat mungkin dalam 10 tahun lalu ada kesusahan namun akhir-akhir  ini ada perubahan yang sangat positif dan kita melihat trend perubahan demokrasi berlangsung seperti negeri maju dan rakyat bebas memilih sesiapa yang mereka mahu sebagai pemimpin dan kerajaan. 

“Demokrasi adalah kuasa rakyat, pegawai kerajaan juga adalah kuasa rakyat juga, tidak kira siapa dia berhak menentukan dan pendirian dia memilih siapa yang dia mahu jadi pemimpin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra dan sesi beramah mesra dengan pengundi Putrajaya di sini hari ini. 

Hadi menepis dakwaan dan kebimbangan bahawa proses pengundian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya tidak telus dan boleh diketahui sambil menasihati supaya kakitangan awam tidak takut untuk menjalankan kewajipan mereka. 

“Nombor siri pada kertas undi hanyalah rujukan SPR sahaja yang mengendalikan pihak raya bukan untuk kerajaan,” kata beliau. 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kajian Merdeka Center yang melaporkan parti itu bakal mengalami kekalahan besar di Kelantan, Hadi Awang berkata, kajian tersebut tidak berpijak di bumi yang nyata kerana pihaknya sendiri mempunyai kajian lapangan yang lebih tepat. 

“Mereka ada kajian dan kita ada kajian kita sendiri, kita berpijak pada kajian di lapangan melalui cawangan peringkat kampung dan ceruk rantau.

“Kajian dia (Merdeka Center) berdasarkan telefon mudah sahaja sebab itu kita merasakan bahawa kajian kita berpijak di bumi yang nyata kita namun ambil kita juga ambil kajian mereka untuk melihatkan kelemahan yang ada dan cepat perbaiki kelemahan itu,” katanya. - K! ONLINE