Beliau berkata, dalam mesyuarat jemaah menteri yang lalu telah membuat satu ketetapan khas yang mana telah bersetuju meminda perlembagaan untuk meminda had umur tersebut.

"Perkara ini (pindaan perlembagaan had umur layak mengundi) akan dibentangkan pada sesi Parlimen Jun atau Julai ini.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengepalai gerakan tersebut untuk pastikan bahawa golongan muda akan dijadikan penentu pada pilihan raya dan pada masa sama hak golongan muda akan terjamin,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia (KKHA) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kovensyen berkenaan, beliau menyeru golongan muda supaya berfikir di luar kotak dan berani menyahut cabaran.

Katanya, golongan belia perlu berani menyatakan pendapat dan bersuara tentang sesuatu kerana sifat sebegini mampu mencetuskan pembaharuan yang positif.

"Usaha negara untuk kembali menjadi Harimau Asia tidak akan berjaya jika tahap pemikiran kita tidak berubah serta tidak berani mencuba sesuatu yang baharu.

"Dahulu apabila Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) mahu bina Putrajaya ramai yang bantah. Begitu juga dengan cadangan bila KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

"Apabila kita menganjurkan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA), ramai yang tidak setuju. Sekarang kita lihat berapa banyak syarikat Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam industri pertahanan," katanya. - K! ONLINE