Khamsiah Abidin, 47, yang mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak, Bachok berkata, orang yang tidak faham hobi ini mungkin pelik melihat siapa sebenarnya yang bertanding sama ada ayam atau tuannya apabila melihat gelagat pemilik ayam lebih-lebih lagi wanita sepertinya yang 'bersorak' lebih kuat daripada kokokan ayam.

Namun, Khamsiah yang juga ibu kepada empat anak berusia 19 tahun hingga 26 tahun ini berkata, hobi yang dimulakan suaminya, Zurizam Ibrahim, 52, memberi kepuasan kepadanya selepas seharian bertugas di sekolah selain mengeratkan hubungan keluarga.

"Saya tidak pernah fikir apa orang kata dan tidak mahu ambil tahu. Saya ibarat gian bertanding dan akan rasa resah kalau dalam beberapa hari tidak dapat bawa ayam menunjukkan kebolehan berkokok.

"Setiap hari saya cuba luangkan masa masuk pertandingan ayam sorak secara kecil-kecilan di merata tempat tidak kira petang atau malam," katanya.

Khamsiah adalah satu-satunya peserta wanita yang menyertai Karnival Ayam Sorak negeri Kelantan anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan di Taman Orkid di sini semalam.

Pertandingan itu menyaksikan hampir 1,000 ekor ayam dibawa bertanding oleh pemilik dari dalam dan luar Kelantan termasuk Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Johor.

Aktiviti yang berasal dari negara jiran Thailand itu mula popular sejak setahun lalu di negeri ini  mengkehendaki ayam membuat sekurang-kurangnya 35 kokokan dalam tempoh 15 minit atau istilahnya berjaya mendapat 'cing' sebelum ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, Khamsiah berkata, dia kini memelihara lebih 20 ekor ayam yang dijaga ibarat anak sendiri dan mengakui menghabiskan ratusan ringgit sebulan untuk keperluan makanan termasuk minyak ikan dan vitamin bagi kesihatan ayam-ayam peliharaannya.

Dalam pertandingan semalam, dua daripada empat ekor ayamnya yang masuk bertanding menjadi antara 47 ekor ayam mendapat tempat di pusingan akhir.

"Tidak ada apa-apa rahsia untuk buat ayam berkokok banyak, kita hanya jaga dengan baik supaya ia sihat, kita tahu ayam ini haiwan jadi tidak boleh paksa apa-apa, cuma dalam pertandingan kita bersorak ramai-ramai supaya ia bersemangat untuk berkokok," katanya.

Sementara itu, peserta cilik, Muhammad Nur Akram Adam Mohd. Nor Khairul Anwar, 13, gembira berjaya mendapat hadiah saguhati RM100 apabila ayamnya juga tersenarai dalam 47 ekor ayam yang bertanding di pusingan akhir.

Muhammad Nur Akram Adam berkata, dia dan adiknya, Muhammad Nur Ikram Hakim, 8, memelihara tiga ekor ayam yang dihadiahkan ayah mereka untuk dibawa ke pertandingan ayam sorak sejak tahun lalu.

 "Setiap pagi sebelum ke sekolah saya beri ayam makan dahulu, bila balik dari sekolah saya mandikan ayam di bilik air atas rumah, ayam mudah terperanjat bila kena air jadi saya perlu usap dan belai supaya ia tenang," katanya.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Mejar (B) Md. Anizam Abd. Rahman.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia negeri, Mohd. Aidil Afizie Daud. - K! ONLINE