Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun sedang berjalan pulang ke rumahnya selepas pergi ke sebuah pusat membeli-belah di situ sebelum dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.

"Dua lelaki menaiki motosikal Honda Wave warna biru itu datang dari arah hadapan mangsa sebelum pemboncengnya turun dari motosikal dan bertindak menumbuk dahi wanita tersebut dan pada masa sama cuba menarik beg galas dibawa guru berkenaan.

"Semasa suspek menarik beg galas mangsa, guru tuisyen itu terjatuh dan dia diseret di atas jalan tar dan mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, kaki serta tangan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa menjerit meminta tolong sebelum suspek bertindak melepaskan beg galas dan meninggalkan guru tuisyen tersebut. - Bernama