Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, guru berusia 40 tahun dan mengajar subjek Pendidikan Islam itu ditahan pukul 10 pagi semalam di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya di Balik Pulau dekat sini selepas polis menerima laporan daripada anggota keluarga murid yang mendakwa menjadi mangsa lelaki berkenaan.

"Setakat ini, kami menerima enam laporan polis berhubung kejadian cabul itu membabitkan murid tahun lima dan empat. Lima daripadanya adalah laporan kerana dicabul, manakala satu lagi laporan dibuat kerana mangsa hampir dicabul guru agama berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata laporan polis pertama dibuat pada Rabu lepas oleh seorang wanita yang merupakan ibu kepada seorang murid tahun empat selepas anaknya mendakwa diraba kemaluan ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

Beliau berkata menurut anak wanita itu, kejadian berlaku ketika mangsa dipanggil membaca Al-Quran semasa sesi pembelajaran di dalam kelas dan dia diraba guru terbabit ketika berdiri di sebelah meja.

"Mangsa juga mendakwa guru terbabit sudah melakukan perbuatan itu terhadapnya sejak April lalu dan murid tersebut memberitahu ibunya beberapa rakan lain juga diperlakukan sedemikian," katanya.

Anbalagan berkata berikutan laporan polis dibuat wanita itu, empat lagi murid yang mendakwa menjadi mangsa guru itu turut tampil membuat laporan semalam dengan mendakwa mereka dicabul dalam kelas serta surau di sekolah ketika sesi pembelajaran dan selepas waktu sekolah.

Beliau berkata menurut murid-murid itu lagi, guru berkenaan melakukan kesalahan seksual fizikal dan mencabul mereka berulang kali sejak awal tahun ini namun mereka takut untuk memberitahu ibu bapa atau guru lain kerana telah diberi amaran oleh suspek supaya tidak memberitahu kepada sesiapa.

"Guru yang sudah berkahwin dan mengajar di sekolah itu sejak 2014 itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan. Saya minta mana-mana murid yang pernah menjadi mangsa guru berkenaan agar tampil membuat laporan polis," katanya. - Bernama