Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 48 tahun itu mendakwa membuat permohonan pinjaman berkenaan secara dalam talian pada 15 Oktober lepas daripada sebuah syarikat pinjaman yang kononnya beralamat di Bangsar, Kuala Lumpur.

"Mangsa mendakwa dihubungi seorang lelaki bernama Vincent dan selepas berbincang, suspek meminta mangsa membuat bayaran yang dikatakan bayaran proses untuk mendapatkan pinjaman pada 22 Oktober lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd. Wazir menambah mangsa yang bertugas di Rompin dekat sini, akhirnya telah membuat transaksi bayaran sebanyak 24 kali ke dalam lapan akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM100,050.

Mangsa yang membuat transaksi akhir pada Isnin lepas, bagaimanapun merasakan ditipu selepas pinjaman itu tidak diperoleh dan suspek pula gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Sehubungan itu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang penolong pegawai kerajaan kerugian RM45,450 yang kononnya bayaran untuk melepaskan kenalan Facebook yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata, mangsa berusia 38 tahun mendakwa dihubungi seorang wanita mendakwa dirinya pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Oktober lalu memaklumkan penahanan rakannya bernama Eric Kyeah.

"Suspek memberitahu Eric yang dikenali mangsa sejak setahun lalu ditahan kerana membawa wang AS$250,000 dan mangsa perlu membayar RM5,000 yang dikatakan sebagai jaminan kepada kawannya.

"Mangsa kemudian terus diminta membuat bayaran yang dikatakan untuk melancarkan proses pembebasan Eric yang berjumlah RM40,450," katanya.

Mohd. Wazir menambah pembayaran itu dilakukan secara dalam talian sebanyak 11 kali ke dalam sebuah akaun milik seorang lelaki yang diberikan oleh suspek.

Mangsa bagaimananpun membuat laporan polis di IPD Kuantan semalam, iaitu sehari selepas dia melakukan transaksi pemindahan wang terakhir ke dalam akaun suspek. - Bernama