Semasa kejadian, mangsa lelaki yang merupakan seorang guru berusia 39 tahun bersama isterinya dikatakan baru sahaja meninggalkan kediaman berkenaan kira-kira 20 minit sebelum dimaklumkan mengenai kejadian berlaku. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati rumah dua tingkat yang diperbuat daripada kayu dan simen itu terbakar hampir 90 peratus.

"Mangsa lelaki yang juga pengadu memaklumkan yang isterinya telah menerima panggilan daripada jiran memberitahu kediaman mereka telah terbakar semasa dalam perjalanan ke sebuah majlis perkahwinan di Tasek Gelugor dan telah berpatah balik ke rumah.

"Api berjaya dipadamkan dalam tempoh 10 minit oleh pasukan bomba dan Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Sungai Puyu dan Kuala Muda. Dalam kejadian itu, tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan," katanya kepada Kosmo! di sini sebentar tadi.

Noorzainy memberitahu, pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran itu berlaku. -K! ONLINE