Abang ipar mangsa, Irwan idris, 38, berkata, pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedia Raja itu membuat gurauan tersebut semasa mengunjungi rumahnya di Melaka minggu lalu.

"Arwah mengusik isteri saya dan menyebabkan isteri saya marah. Kemudian dia kata saja bergurau mana tahu nanti dia sudah tiada. Saya tidak sangka itu gurauan terakhirnya dengan kami.

"Arwah memang seorang yang ceria, rajin membantu dan disenangi keluarga," katanya ketika di temui Kosmo! Online di rumah keluarga Allahyarham Mohd. Aidil Azzahar di sini semalam.

Mohd. Aidil Azzahar ditemui mati di dalam bilik tidur di rumah keluarganya di Kampung Gaing Baru oleh ibunya, Jamaiyah Amizah, 51, tengah hari kelmarin.

Remaja lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik sewaktu menggunakan fon telinga pada telefon bimbit yang sedang dicas semasa sedang tidur.

Jenazahnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban bagi bedah siasat sebelum dibawa pulang kira-kira pukul 1 tengahari semalam dan dikebumikan di tapak perkuburan di kampung tersebut selepas solat Zuhur.

Sementara itu, beberapa rakan sekolah mangsa  memaklumkan Allahyarham Mohd. Aidil Azzahar seorang pelajar yang riang dan mesra serta sangat disenangi pelajar lain di SMK Sedia Raja.

"Walaupun dia pelajar tingkatan empat, tetapi arwah rapat dengan pelajar-pelajar lebih junior. Dia suka bergurau dan mengusik kami," kata salah seorang daripada mereka. - K! ONLINE