Pada waktu ini pasti ramai pelanggan yang akan memenuhi meja makan di situ lebih-lebih lagi jika ia viral di media sosial. Apabila penuh, maka akan adalah aksi ‘berebut’ meja kosong antara pelanggan.

Namun, sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, tolak ansur harus diamalkan di mana jua. Walaupun tiada peraturan tertentu yang tertulis mengenainya, kita perlulah gunakan akal budi ketika ingin menjamu selera di luar terutama di restoran atau warung yang sesak dengan pelanggan.

Salah satunya beredar segera sebaik usai makan untuk memberi tempat duduk kepada orang lain yang baru sampai. Warung atau restoran yang sesak bukanlah tempat untuk melepak, tapi masih terdapat segelintir individu masih bersikap pentingkan diri sendiri dengan berborak atau bermain telefon bimbit.

Orang yang baru sampai pula janganlah terlalu mendesak mereka yang sedang makan untuk menghabiskan makanan dengan cepat walaupun bukan secara langsung. Contohnya berdiri di sebelah meja tersebut dan lihat orang itu makan ataupun bercakap di belakang hingga boleh didengari mereka. Jagalah hati orang lain dan bertimbang rasalah sedikit.

Lebih baik cari saja meja lain yang kosong atau berdiri jauh sedikit dari situ dan senyap. Jika memang tiada meja kosong, apa salahnya kalau berkongsi dan duduk semeja dengan orang lain. Tidak salah rasanya berkongsi meja kalau sekadar untuk makan dalam tempoh masa yang singkat.

Sekiranya mahukan privasi, bungkus sahaja makanan dipesan dan nikmatinya di rumah atau pergi sahaja ke restoran lain yang lengang. Bercakap soal makanan yang dibungkus untuk dibawa pulang pula, tidak usahlah tinggalkan sampah pembungkus di atas meja sekiranya berubah fikiran untuk makan di situ.

Sakit pula mata melihat sampah yang sepatutnya dibawa pulang ke rumah dibiarkan berlonggok atas meja. Memanglah ada pekerja akan membersihkan meja tersebut, tapi cubalah bersivik sedikit dan ringankan tulang bersihkan meja selepas digunakan.

Begitu juga mereka yang memilih untuk makan di situ. Apa salahnya susun dan kumpulkan pinggan dan cawan selepas makan untuk bantu pekerja membersihkan meja dengan lebih cepat.

Di kebanyakan restoran makanan segera kini ada disediakan tempat meletakkan dulang dan tong sampah bertutup berhampiran meja makan dan mudah dilihat pelanggan. Ia bukan sahaja memudahkan pekerjanya mengemas meja, malah dapat membantu mendidik pelanggannya menjaga kebersihan.

Akhir sekali, sebelum beredar biasakan diri untuk rapatkan kerusi ke meja supaya tidak menghalang laluan. Ramai antara kita menganggap perkara ini remeh, tapi impaknya besar. Cuba kita bayangkan jika pekerja kedai makan tersebut membawa bekas yang penuh dengan pinggan kotor, pasti sukar hendak me­lalui laluan yang terhalang dengan kerusi.

Penulis percaya ramai antara kita yang prihatin dengan nasib orang yang sedang alami kesusahan. Apa salahnya jika kita ringankan sedikit beban pekerja ini. Semua perkara yang dinyatakan di atas bukanlah wajib untuk diikuti, tapi ia penting untuk wujudkan masyarakat yang lebih bertimbang rasa. Jika perkara kecil seperti ini tidak boleh dilakukan, bagaimana hendak melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar?