Kejadian berlaku pukul 2.20 petang selepas kenderaan jenis Proton Wira dinaiki kedua-dua suspek berusia 27 dan 33 tahun dikesan kereta peronda polis (MPV).

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, sewaktu diarahkan berhenti didapati suspek memecut laju kenderaan mereka sebelum seorang daripadanya mencampakkan dua beg plastik di tepi jalan berhampiran Batu 10, Jalan Kapar di sini.

Katanya, polis kemudiannya berjaya menahan mereka di Pekan Kapar sebelum membawa ke lokasi pembuangan dua bungkusan beg plastik tersebut.

Jarak lokasi ditahan dan lokasi pembuangan dua bungkusan plastik kira-kira dua kilometer.

"Hasil pemeriksaan dua bungkusan beg itu menemui 14 peket berisi serbuk dan ketulan dadah disyaki heroin seberat 6.44 kilogram bernilai RM85,866.

"Berdasarkan siasatan awal mereka dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu dengan memperoleh dadah sekitar daerah ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, dadah itu kemudiannya akan dipasarkan di beberapa kawasan di beberapa buah daerah sepanjang menuju kampung halaman mereka di Hutan Melintang dan Teluk Intan di Perak.

Difahamkan sepeket heroin seberat 25 gram dijual di antara RM60 hingga RM80.

Kata Nurulhuda, polis turut menyita kereta digunakan suspek yang bernilai RM7,000.

"Berdasarkan semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Malah, suspek berusia 33 tahun yang menggunakan kereta isterinya itu pernah dijatuhkan hukuman di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) di Hilir Perak pada 2017," katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE