Dalam insiden tersebut, sepasang suami isteri yang menaiki kenderaan pelbagai guna Perodua Alza maut di tempat kejadian manakala beberapa mangsa di dalam kenderaan lain cedera.

Insiden ngeri itu berjaya dirakamkan oleh seorang pemandu yang berada di belakang treler terbabit menerusi kamera video yang dipasang di dalam kenderaannya.

Sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat banyak rakaman klip video yang memaparkan sesuatu kemalangan jalan raya tular di laman sosial Facebook.

Jika dahulu, kita hanya dapat mendengar cerita-cerita mengenai sesuatu insiden daripada mulut ke mulut tanpa mengetahui kejadian sebenar namun kini, kejadian yang berlaku itu seolah-olah berada di depan mata.

Penggunaan kamera video dalam kenderaan juga dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lebih mudah terutama berhubung persoalan bagaimana sesuatu kemalangan itu berlaku.

Sebelum ini, pihak polis terutamanya perlu mencari beberapa saksi kejadian bagi membantu siasatan tetapi sekarang, rakaman klip video tersebut boleh merungkai beberapa persoalan utama dalam sesuatu kemalangan.

Selain itu, kamera video di dalam kenderaan juga boleh digunakan dalam usaha mendisiplinkan pemandu di negara ini.

Pemandu yang suka melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memandu secara berbahaya dan membelok tanpa memberi isyarat adalah antara aksi yang boleh dirakamkan menerusi kamera video.

Setakat ini, masih ramai pemandu yang tidak memasang kamera video kerana ia bukan satu kewajipan selain harganya bernilai ratusan ringgit bagi alat yang mampu memaparkan visual berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, kamera video ini sebenarnya mendatangkan pelbagai manfaat terutama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.

Sikap manusia boleh berubah jika sentiasa diperhatikan atau dipantau. Sebab itu kita lihat, rata-rata pemandu akan memperlahankan kenderaan mereka apabila melalui kawasan yang mempunyai Sistem Penguatkuasaan Automatik.

Tiada pemandu yang akan memecut laju kenderaan apabila melalui kawasan berkenaan kerana mereka bimbang dikenakan saman.

Kempen keselamatan jalan raya atau program kesedaran mungkin sudah tidak sesuai dipraktikkan sepenuhnya pada zaman ini kerana generasi muda terutamanya sukar dikawal perilaku mereka ketika memandu.

Penggunaan teknologi terkini seperti kamera video perlu dipraktikkan dalam memantau tingkah laku pemandu. Di samping itu, ia juga dapat mencegah kegiatan ragut dan jenayah yang lebih menakutkan seperti kejadian tembak yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Selain pemandu kenderaan, tidak terkecuali penunggang motosikal yang juga sepatutnya memasang kamera video pada topi keledar mereka.

Satu mekanisme perlu difikirkan supaya semua pemandu dan penunggang motosikal dapat memasang alat tersebut di dalam kenderaan masing-masing termasuk pemberian bantuan kepada mereka.

Seperti pepatah Melayu ada menyebut, mencegah sesuatu kejadian itu lebih baik daripada mengubati.