Eksekutif Bahagian Bantuan dan Pembangunan Kapasiti Keselamatan Siber dari CyberSecurity Malaysia, Edwan Mohd Aidid berkata, walaupun kadar keberhasilannya sekitar satu peratus, namun aplikasi tersebut mampu menjadi benteng awal daripada menjadi mangsa penipuan yang kerap berlaku melalui panggilan telefon. 

"Pengguna boleh menggunakan beberapa aplikasi yang dibangunkan untuk menapis panggilan scammer ini seperti True Caller Apps. Pun begitu, kesedaran mengenai pelbagai jenis bentuk penipuan adalah kunci utama dalam mengelak diri dari menjadi mangsa.

"Paling utama, sentiasa semak semula panggilan yang meragukan walaupun ia datang dari kenalan atau keluarga," katanya kepada Bernama selepas menjadi panel di Forum Kesedaran Penipuan Scammer yang dianjurkan oleh UCSI University di sini hari ini. 

Turut menjadi panel forum tersebut adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, ASP Janarthanan Nail dan Presiden Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPOS) Kamarul Zaman Abdul Rahman yang juga merupakan bekas majistret.

Edwan berkata penggunaan VoIP merupakan taktik biasa yang digunakan oleh sindiket penipuan seperti Love Scam, Macau Scam, Black Money dan pelbagai lagi untuk memanipulasi mangsa sehingga menyerahkan sejumlah wang kepada mereka. 

Penggunaan VoIP merupakan taktik biasa digunakan oleh sindiket penipuan seperti Love Scam, Macau ScaPenggunaan VoIP merupakan taktik biasa digunakan oleh sindiket penipuan seperti Love Scam, Macau Scam, Black Money untuk memanipulasi mangsa sehingga menyerahkan sejumlah wang kepada mereka. - Gambar hiasan

 

Di samping itu, pengguna juga perlu lebih berhati-hati sekiranya memilih menggunakan kaedah 'Auto -Login' atau 'Remember Me' pada laman web yang dilayari terutama melibatkan perbankan. 

"Penggunaan Auto Login atau Remember Me pada akaun sosial media atau bank memang bagus kerana kita tidak perlu berulang kali memasukan kata kunci. Namun ia tetap berisiko terutama bagi penggunaan internet di tempat awam dan lebih berisiko sekiranya laptop atau telefon bimbit kita tercicir atau dicuri. 

"Untuk itu, biarpun menggunakan Auto Login, pengguna dinasihati sentiasa mengemaskini atau menukar kata kunci  dengan kerap serta memilih kata kunci yang sukar diteka," katanya. 

Dalam pada itu, Janarthanan menasihati agar orang ramai agar tidak meminjamkan akaun bank mereka kepada pihak ketiga bagi mengelakkan akaun mereka disalahguna oleh scammer. 

"Biasanya scammer ini memerlukan akaun bank. Jadi dia akan mendapatkan akaun ini dengan pelbagai cara dan salah satunya adalah meminjam akaun dan beri komisen bagi setiap transaksi kepada pemilik akaun. Dengan tawaran sebegini, pemilik akaun akan benarkan scammer ini menggunakan akaunnya.  

"Jika ditahan dan pihak pendakwaraya mendapati pemilik akaun ada niat dan tahu perkara (transaksi) tersebut mendorong kepada jenayah mendapatkan duit, pemilik akaun ini bakal berdepan dakwaan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan," katanya. 

Janarthanan juga menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya kepada sebarang panggilan oleh polis atau pihak mahkamah yang mengatakan mereka terlibat dalam kes jenayah. 

"Pihak polis serta mahkamah mempunyai prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan undang-undang dan ia perlu diikuti sebelum sesuatu tangkapan dilakukan.  Jadi, jika anda mendapat penggilan yang mencurigakan, cara terbaik adalah datang terus ke balai polis untuk semak aduan atau rujuk dengan pendaftar mahkamah jika panggilan tersebut berkaitan mahkamah. Begitu juga jika ia melibatkan bank. 

"Orang ramai juga tidak perlu takut dengan sebarang ancaman atau ugutan yang dinyatakan scammer kerana salah satu modus operandi mereka adalah menakutkan mangsa sehingga berjaya mendapat wang yang dikehendaki," katanya. 

Dalam pada itu, forum yang dihadiri lebih 100 pelajar, kakitangan dan pegawai UCSI University dianjurkan bagi mendidik dan mendedahkan warga kampus tersebut tentang jenis penipuan dan modus operandi yang dilakukan scammer dalam memancing mangsa mereka. 

Ia merupakan antara kempen kesedaran yang dijalankan oleh UCSI University memandangkan kes penipuan yang semakin berleluasa di negara ini malah di seluruh dunia di mana menyebabkan ramai yang tertipu dan kehilangan wang malah ada kes yang melibatkan nyawa tanpa mengira jantina dan umur. - Bernama