"(Datuk Seri) Najib (Tun Razak) lupa bahawa GST telah memberi  kesan terhadap segenap lapisan rakyat Malaysia, terutamanya golongan miskin dan tidak berkemampuan yang tidak dikenakan cukai sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Lim, ini sekali gus meletakkan bebanan kewangan berterusan ke atas rakyat biasa sehinggakan mereka tiada pilihan untuk mengubah kerajaan buat pertama kalinya selepas 61 tahun.

Malah, rakyat juga sedar apabila tiada perubahan (kerajaan), ini bermakna GST akan terus kekal memberi tekanan dan membebankan ekonomi mereka.

Reaksi beliau itu sebagai menjawab kenyataan berterusan Najib yang mempertahankan GST dengan mendakwa cukai berkenaan hanya dikenakan ke atas golongan kaya dan pemansuhannya hanya menguntungkan kalangan mewah dan usahawan.

Bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu turut mendakwa kehilangan punca pendapatan daripada golongan kaya serta usahawan besar tidak lagi dapat digunakan bagi membantu penduduk miskin daripada kumpulan B40.

Malah, Najib turut menyelar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyatakan bahawa beliau berharap "Malaysia Baharu itu bukan saja untuk kalangan kaya dan usahawan besar."

"Kerajaan Malaysia Baharu sudah menunaikan janji kita dengan menghapuskan GST. Amaran kerajaan sebelum ini yang menyatakan Malaysia akan jatuh muflis dengan ketiadaan GST juga (terbukti) tidak benar sama sekali.

"Bukan sahaja kerajaan tidak muflis, bahkan bayaran BR1M (kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup atau BSH), masih lagi diteruskan meskipun tanpa kewujudan GST," katanya.

BSH disasarkan kepada golongan kumpulan B40.

"(Oleh itu) bagaimana pula Najib boleh mendakwa golongan miskin ini tidak dibantu sedangkan bayaran terakhir BSH tahun ini akan diagihkan bermula 15 Ogos iaitu seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha? Sebanyak 4.1 juta rakyat akan menerima BSH yang menelan anggaran kos RM1.6 bilion," tegasnya.

Menurut Lim, kumpulan B40 ini juga masih terus dibantu apabila kerajaan baharu bertindak menstabilkan harga petrol yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini dengan hanya membuat apungan berdasarkan harga pasaran.

Malah, tegasnya, walaupun harga minyak antarabangsa meningkat sebanyak 42 peratus daripada Bajet 2018 dengan anggaran harga US$52 setong hingga US$74 setong, harga RON95 serta diesel sebaliknya tetap kekal masing-masing pada RM2.20 dan RM2.28 seliter yang membabitkan subsidi petrol kira-kira 30 sen seliter berjumlah RM3 bilion yang ditanggung kerajaan sehingga penghujung tahun 2018.

"Oleh itu, Najib terbukti salah apabila menyatakan GST adalah bagus dan menuduh kerajaan baharu ini tidak fokus dalam membantu golongan B40.

"Najib sewajarnya tidak melepaskan kekecewaan beliau atas kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum lepas kepada Pakatan Harapan serta kegagalannya mempertahankan kedudukan sebagai Perdana Menteri kepada Tun Dr Mahathir.

"Beliau sepatutnya menerima hakikat bahawa rakyat sudah menolak kepimpinannya, pelaksanaan GST serta muak dengan skandal rasuah 1MDB yang membabitkan wang rakyat sebanyak RM50 bilion," kata Lim. - Bernama