Ketua Pegawai Operasi GSC, Koh Mei Lee berkata, pihaknya sentiasa meneroka peluang untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada pelanggan tanpa mengira usia, justeru pengenalan PlayPlus adalah menepati hasrat mereka.

"Sebab itulah, kami teruja untuk memperkenalkan PlayPlus yang direka khas bagi memenuhi kehendak ibu bapa dan kanak-kanak kerana ia mengandungi elemen keseronokan dan pembelajaran ketika mengunjungi panggung wayang.

"Kami berharap dengan adanya PlayPlus, keluarga akan lebih menikmati momen menonton wayang bersama-sama," katanya ketika berucap di majlis pengenalan dewan tersebut di IOI Mall Puchong di sini hari ini.

PlayPlus dilengkapi dengan tempat duduk rekaan khas beraneka warna yang selesa bagi kegunaan seisi keluarga, malah turut didatangkan dengan ruang bermain untuk kanak-kanak.

Dewan panggung wayang juga diterangi dengan lampu yang bersesuaian ketika filem ditayangkan bagi membolehkan ibu bapa melihat anak masing-masing.

Menurut Mei Lee, GSC IOI Mall Puchong kini turut menempatkan kios Starbucks buat julung kalinya menerusi kerjasama mereka dengan Starbucks Malaysia.

Bermula hari ini sehingga 31 Mei depan, pelanggan PlayPlus boleh menikmati pelbagai tawaran menarik di kios Starbucks IOI Mall Puchong, termasuklah Junior's Special Menu pada harga RM12 dan Special Combo Set (bermula RM15).

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.gsc.com.my. - K! ONLINE