Panggung 4DX tersebut yang ditawarkan di GSC 1 Utama menggunakan teknologi sinematik empat dimensi (4D) membolehkan penonton menikmati pengalaman menonton wayang dengan 20 jenis kesan khas pergerakan serta persekitaran.

Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, selepas memperkenalkannya buat kali pertama di Malaysia di GSC Paradigm Mall, Johor Bharu, Johor awal tahun ini, pihaknya berbesar hati membawanya ke Lembah Klang demi peminat wayang di sini.

“Kami percaya khalayak di Kuala Lumpur dan Selangor pasti akan menghargai apa yang ditawarkan menerusi teknologi baharu ini.

GSC 4DX
Kesan khas salji turut terdapat di panggung 4DX.

 

“Kami akan sentiasa memenuhi keperluan mereka seperti apa yang telah dijanjikan iaitu memperkayakan lagi pengalaman ketika menonton wayang.

“Ia sekali gus membuka lembaran baharu kepada pelanggan kami melalui kesan-kesan khas yang mengujakan seperti salji, hujan, pergerakan dan banyak lagi,” katanya ketika majlis pelancaran panggung 4DX di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar GSC, Irving Chee dan Penolong Pengurus Besar GSC, Heng Beng Fat.

GSC 4DX
Penonton dapat menikmati pengalaman menonton wayang dengan 20 jenis kesan khas pergerakan serta persekitaran di GSC 4DX.

 

Selain itu, GSC turut menyasarkan untuk memperkenalkan dua lagi panggung 4DX pada tahun hadapan meliputi GSC IOI City Mall, Putrajaya dan GSC Southkey, Johor Bahru.

Di samping itu, selain panggung 4DX, GSC turut merancang untuk membuka panggung ScreenX pertamanya iaitu teater yang membolehkan tontonan wayang panorama bersudut 270 darjah pada 2019 nanti. – K! ONLINE