Masalah ini dikatakan berpunca daripada lambakan graduan doktor disebabkan peningkatan keluaran lulusan perubatan daripada institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad baru-baru ini.

Kenyataannya mengejutkan kerana rupa-rupanya gra­duan doktor perubatan juga sukar mendapat penempatan di hospital kerajaan selepas mereka menamatkan pengajian.

Selama ini graduan dalam bidang sosial dan ekonomi juga susah untuk mendapat pekerjaan.

Begitu juga graduan dalam bidang pendidikan yang terpaksa menunggu penempatan mereka di sekolah-sekolah akibat masalah lambakan. Ada antara mereka yang sudah hampir lima tahun tidak berjaya menjadi seorang guru.

Misalnya baru-baru ini, sembilan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak merayu Kementerian Pendidikan supaya segera menempatkan mereka mengajar di mana-mana sekolah di seluruh negara.

Bakal guru tersebut memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Tamil) di UPSI pada tahun 2013 namun sehingga kini belum dipanggil untuk berkhidmat.

Akibatnya, mereka terpaksa bekerja di kilang-kilang dan pusat beli-belah bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Pada minggu lalu di Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dilaporkan berkata, kementerian mempertimbangkan akan mengambil sukarelawan dan guru-guru pencen menjadi pembantu guru.

Jawatan itu dicadangkan untuk meringankan tugas guru-guru bagi urusan luar waktu pengajaran dan pembelajaran.

Bagi Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam, mereka mahu kementerian melantik graduan dalam bidang pendidikan menjadi pembantu guru bagi mena­ngani masalah lambakan selain meningkatkan kemahiran mereka sementara menunggu penempatan di sekolah-sekolah.

Guru-guru pencen biarlah mereka berehat daripada dibebani tugas-tugas perkeranian yang sepatutnya dilakukan oleh kakitangan sokongan sahaja.

Memberi jawatan itu kepada guru-guru pencen juga ibarat menutup peluang rezeki graduan dalam bidang lain yang masih ramai menganggur.

Berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan tahun 2016, seramai 54,103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka tamat pengajian.

Antara punca pengangguran yang sering dilaporkan ialah terlalu memilih kerja yang menawarkan gaji lumayan.

Itu mungkin situasi dahulu kerana ramai graduan sekarang sudah tidak kisah lagi tentang gaji yang ditawarkan asalkan mereka diterima bekerja.

Justeru, mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda kini sanggup menjadi pembantu atau penolong pegawai dalam sektor awam asalkan mereka mendapat pekerjaan.

Berkhidmat dalam sektor kerajaan sekarang merupakan cita-cita ramai graduan kerana ia menjamin masa depan yang lebih cerah.

Berbanding dalam sektor swasta, banyak syarikat kini membuang pekerja akibat perubahan dalam arus teknologi. Bilangan syarikat yang ditutup juga semakin meningkat.

Masalah pengangguran dijangka terus kritikal pada tahun-tahun mendatang bukan sahaja kepada graduan malah pekerja yang diberhentikan kerja.

Suka atau tidak kita perlu menempuh dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan. Mengeluh tidak akan menyediakan peluang pekerjaan dan merungut pula tidak akan menyebabkan pekerjaan datang kepada kita.