Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, hasrat kerajaan untuk menyemak semula akta itu dilihat sebagai komitmen mereka dalam memberikan layanan yang adil selain menjaga kepentingan komuniti yang lebih luas. 

"Jika anda lihat apa yang pemimpin kita sering utarakan, beliau (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) memulakannya dengan menyatakan 'Saya pada asasnya mahu membuat perubahan dan adil kepada semua rakyat'.

"Satu daripada perubahan itu ialah semakan semula bagi memastikan kita menjaga kebajikan semua segmen rakyat dan satu daripadanya ialah komuniti pemandu teksi kita," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai Masa Depan Grab, di sini hari ini.

Goh berkata, semangat dan komitmen Grab Malaysia tidak berubah dan mereka bersedia untuk menyumbang ke arah perubahan bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

Mahathir dilaporkan berkata, ada keperluan untuk undang-undang semasa dikaji termasuk  Akta Pengangkutan Awam Darat 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial 2017 bagi membolehkan kedua-dua pihak (Grab dan teksi) turut dibela. - Bernama