Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan tempoh reman ke atas wanita berusia 61 tahun itu bermula semalam sehingga 2 September depan.

Hasanah disiasat SPRM mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Hasanah ditahan pada pukul 4.15 petang kelmarin selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada hari tersebut.

Terdahulu, wanita berkenaan dibawa ke mahkamah dengan memakai baju lokap SPRM dengan tangan bergari pada pukul 9 pagi.

Akhbar-akhbar semalam melaporkan, Timbalan Ketua Pe­ngarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ruslin Jusoh bersama enam Pegawai Tinggi Diplomatik (PTD) direman bagi membantu siasatan SPRM berkaitan kes sama iaitu me­nyalahgunakan dana PRU-14 untuk kegunaan peribadi.

Ruslin dan enam yang lain direman lima hari bermula kelmarin sehingga Sabtu ini. Bagi siasatan kes tersebut, SPRM setakat semalam telah menahan lapan orang.

Kontroversi Hasanah yang pernah bertugas di MEIO tercetus selepas PRU-14 pada Mei lalu apabila wanita berkenaan didakwa menandatangani surat tiga halaman bertarikh 4 Mei lalu dan diutuskan kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) bagi meminta negara kuasa besar itu terus menyokong pentadbiran Datuk Seri Najib Razak walaupun Barisan Nasional (BN) menang tipis.

Menerusi surat tersebut, MEIO menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra Amerika Syarikat (AS) dan akan terus menyokong kehadiran kuasa besar di rantau ini.

Berikutan kontroversi tersebut, Hasanah membuat satu laporan polis di Balai Polis Tra­vers, Kuala Lumpur pada 30 Julai lalu.