Ketua Pegawai Eksekutif Giat Mara, Jamal Nasir Othman berkata, kerjasama tersebut secara tidak langsung dapat membantu pelatih bagi kluster kulinari pusat latihan itu menyediakan hidangan yang mengekalkan keaslian rasa makanan di samping menjimatan kos dan masa.

Giat Mara berminat untuk bekersama dengan Shinsegae Mamee memandangkan produk-produk Shinsegae Mamee Foodservice yang dilancarkan baru-baru ini menarik.

“Ia dapat membantu pelatih-pelatih Giat Mara dari segi penjimatan kos dan masa sambil mengekalkan keaslian rasa makanan,” katanya pada sesi panel bersama Shinsegae Mamee baru-baru ini.

Sementara itu, Jamal Nasir berkata, kerjasama strategik bersama pemain-pemain industri adalah penting bagi memastikan kualiti pelatih yang dihasilkan bersesuaian dengan kehendak serta keperluan dunia pekerjaan semasa.

Dalam pada itu, Jamal Nasir memberitahu, terdapat keperluan bagi 91,000 pekerja mahir dalam industri makanan dan minuman menjelang tahun 2020.

“Dianggarkan, hampir 1,000 pelatih bidang makanan dan minuman mengikuti latihan sepenuh masa di Giat Mara setiap tahun. Setakat ini, kami telah mengeluarkan seramai 10,570 orang chef dan kita berharap agar mereka yang dilatih ini dapat mengusahakan perniagaan sendiri,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Giat Mara telah mengambil inisiatif untuk menggalakkan mewujudan usahawan dengan memperkenalkan program-program seperti Mobilepreneur dan Mobile Truck selain program Rintis Niaga (inkubator).

“Ia adalah satu polisi kerajaan yang amat baik dalam membantu kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) berganjak kepada kumpulan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) dan seterusnya kumpulan berpendapatan 40 peratus teratas (T20),” ujarnya. – K! ONLINE