Pengerusinya, Tan Sri Lim Kok Thay berkata, pusat itu dibina susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Genting Bhd dan UM semasa sambutan Hari Pengasas Sulung Genting pada Februari tahun lepas.

"Genting Bhd sejak sedekad lalu terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan untuk rawatan terbaharu dan cara mengesan penyakit Alzheimer menerusi syarikat bioteknologi dan sains hayat.

"Kami berharap dengan pelaburan dalam syarikat-syarikat antarabangsa ini, ia akan memberi manfaat kepada Malaysia, menerusi pemindahan pengetahuan dan kerjasama dengan penyelidik dan universiti tempatan, dengan membawa teknologi terkini ke Malaysia bagi memerangi penuaan dan penyakit serta mewujudkan peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Pusat Penjagaan Demensia kepada UM bersempena dengan sambutan Hari Pengasas Kumpulan Genting di sini malam tadi. - Bernama