Kesemua suspek warga tempatan berumur antara 22 hingga 43 tahun itu diberkas dalam dua serbuan di sekitar Jasin dan Tangkak, Johor pada 30 dan 31 Disember lalu. 

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, tangkapan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai pengurus di ladang estet tersebut pada 30 Disember lalu.

“Pengadu mendakwa lima pekerja warga asing, masing-masing empat Bangladesh dan seorang Indonesia telah didatangi sekumpulan lelaki dalam keadaan menutup muka kira-kira pukul 10 malam pada 29 Disember lalu. 

“Mangsa kemudian diikat dan dipukul dengan kayu serta parang sehingga mengalami kecederaan di muka. Suspek turut mengambil telefon bimbit dan pasport mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Arshad berkata, kumpulan itu dipercayai baru bergiat aktif dengan menjadikan warga asing sebagai sasaran. 

“Hasil soal siasat mendapati, salah seorang ahli Geng Sampa iaitu ketuanya mempunyai rekod lampau berkaitan kes gaduh dan mendatangkan kecederaan. 

“Kita berjaya selesaikan kes ini dengan pantas iaitu tidak sampai 24 jam dan polis turut merampas beberapa telefon bimbit milik mangsa dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,500,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek kini ditahan reman dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan. - K! ONLINE