Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan dalam beberapa siri tangkapan sekitar pukul 1 pagi itu dikesan aktif melakukan aktiviti pecah rumah di sekitar kawasan Bandar Tasik Puteri Kundang di sini sejak awal Januari lalu.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia di antara 34 hingga 37 tahun dan siasatan awal mendapati kumpulan ini melakukan jenayah pecah rumah sekitar tengah malam hingga awal pagi dengan menggunakan pemutar skru untuk mengumpil tingkap rumah mangsa.

"Selepas berjaya masuk ke dalam rumah mangsa mereka akan mengambil barang-barang berharga sebelum membuang air besar bagi tujuan menakut-nakutkan mangsa seolah-oleh mereka telah disihir,' katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Samsor, semakan yang dilakukan mendapati salah seorang daripada lelaki yang ditahan mempunyai 12 rekod jenayah lampau melibatkan dadah, kes jenayah dan masih berada di dalam senarai dikehendaki polis manakala ketua kumpulan terbabit yang dikenali sebagai "cicak" pula didapati baru keluar dari penjara pada Julai 2017.

"Ketiga-tiga mereka yang tidak bekerja menjadikan rumah teres di sekitar kawasan Bandar Tasik Puteri Kundang di sini sebagai sasaran dan menggunakan khidmat teksi untuk bergerak bagi mengaburi pihak polis.

"Siasatan yang dilakukan mendapati kumpulan ini akan menjual hasil curi mereka pada kenalan rapat dengan harga sekitar RM50 hingga RM100," jelasnya.

Tambah beliau, ketiga-tiga individu yang ditahan kini direman hingga 16 Januari depan dan pihak polis sedang di dalam usaha untuk mengesan barang-barang kes yang telah dijual oleh suspek.

"Kami juga sedang menyiasat penglibatan ketiga-tiga suspek dalam lain-lain kes," katanya. - K! ONLINE