Difahamkan, kumpulan tersebut dikenali dengan Geng Kojek sempena salah seorang ahli mereka yang berkepala botak.

Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 7.45 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu, seorang lelaki dan seorang wanita berusia 30an ditahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Razlam Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan di premis tersebut, polis merampas dua buah telefon bimbit dan tiga pemutar skru yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.

"Dalam serbuan kedua di sebuah bengkel besi di perumahan awam di Jalan Stesen di sini pada Rabu lalu, kita turut berjaya menahan seorang lagi lelaki yang merupakan ahli Geng Kojek berusia 30-an.

"Di bengkel tersebut, polis merampas seutas rantai emas, gelang emas, kamera, dua buah telefon bimbit, sebuah tablet, sepasang kasut berjenama, satu buku lima dan sebilah pedang," katanya pada sidang akhbar di IPD Taiping di sini sebentar tadi.

Tambah Razlam, semakan mendapati dua suspek lelaki masing-masing mempunyai lima rekod jenayah lampau dan dadah manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kumpulan ini mensasarkan rumah-rumah di taman perumahan yang ditinggalkan kosong sewaktu mangsa keluar bekerja atau bercuti.

"Polis berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan dua kes curi motosikal selepas tertangkapnya ahli kumpulan ini. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan baki ahli geng tersebut," katanya.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. - K! ONLINE