Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dua suspek termasuk ketua geng yang dikenali dengan nama Kacang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Batu Menunggul di sini kira-kira pukul 9.30 malam, Khamis lalu.

"Berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan, kita bertindak menahan seorang lagi suspek di kampung sama kira-kira pukul 5.30 petang, Ahad lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang di sini hari ini.

Kata beliau, ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam enam kes pecah rumah di Pendang dan 14 kes di Kota Setar.

"Kita berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes di Pendang yang melibatkan kerugian hampir RM10,000," ujarnya.

Menurut Arriz Sham, hasil serbuan berjaya merampas pelbagai barangan elektrik dipercayai hasil curi iaitu enam buah televisyen, seunit tablet dan masing-masing sebuah komputer riba dan ketuhar elektrik.

"Kita turut merampas peralatan pecah rumah dan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang disyaki digunakan kumpulan ini untuk melakukan kegiatan jenayah mereka itu," jelasnya. - K! ONLINE