Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lima lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan di sekitar Sungai Petani bermula pukul 8 malam, 27 November lalu hingga 5 pagi keesokan harinya.

"Dalam tangkapan itu juga, kita merampas pelbagai barangan antaranya dua pucuk pistol, sebilah parang, sebuah kereta jenis Proton Waja, sebuah motosikal jenis SYM, satu unit pemadam api, satu tin cat sembur serta pelbagai hasil samun seperti telefon bimbit jenis iPhone dan dompet," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Kata beliau, penahanan lima suspek itu berjaya menyelesaikan lapan kes samun di daerah Kuala Muda dan masing-masing satu kes di Sik dan Baling membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM20,000.

"Kumpulan penjenayah ini pada bulan lalu menyamun seorang lelaki dengan cara melanggar belakang kereta mangsa sebelum melarikan dua beg mengandungi wang tunai RM7,000 dan komputer riba serta barang berharga lain.

"Suspek juga pernah melakukan samun dengan mengacukan pistol tiruan kepada mangsa selain pernah menyembur cat pada muka mangsa yang cuba melawan," ujarnya.

Menurut Adzli, kesemua suspek positif dadah jenis syabu dan dipercayai melakukan kegiatan tersebut untuk membeli bekalan dadah. - K! ONLINE