Keenam-enam lelaki yang turut menyamar sebagai anggota polis semasa melakukan jenayah itu ditahan antara 2 Ogos hingga 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, penahanan kesemua suspek dikenali sebagai 'Geng Aru' itu dibuat susulan laporan polis oleh tiga wanita yang mendakwa telah menjadi mangsa rogol dan cabul pada 30 Julai lalu di sebuah kawasan di Bukit Kuda, di sini.

Katanya, berdasarkan laporan pengadu (tiga mangsa wanita), pada hari kejadian mereka telah didatangi empat orang suspek menaiki kereta ketika kesemuanya berada di satu kawasan di Bandar Baru Klang. 

"Keempat-empat suspek kemudiannya memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum mengarahkan ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kereta.

"Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah kawasan di Bukit Kuda. Salah seorang daripada tiga mangsa telah dirogol oleh dua suspek dan dua lagi mangsa hanya dicabul,"katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, Mazelan berkata, usaha memburu suspek kemudiannya dilancarkan dan hasilnya dua orang suspek telah berjaya ditahan di sebuah kawasan di Shah Alam pada 2 Ogos lalu.

"Ekoran penahanan itu, empat lagi rakan suspek telah ditahan antara 6 dan 7 Ogos lalu. Kesemua suspek kini direman sehingga 17 Ogos ini,"katanya.

Tambah Mazelan, dengan tertumpasnya Geng Aru itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes berkaitan samun, rogol dan cabul melibatkan warga asing di daerah itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkumpulan, Seksyen 170 KK kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 376 KK kerana merogol. - K! ONLINE