Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 11 hari bermula hari ini sehingga pukul 11.45 malam pada 8 Mei. 

Sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan dalam PRU-14 ini termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi DUN di peringkat negeri.

Sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk PRU-14 melibatkan 259,391 petugas yang dilantik dalam kala­ngan orang awam dengan 8,989 premis dijadikan sebagai pusat mengundi yang mempunyai 28,995 saluran.

Bagi memudahkan para pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing, kerajaan telah mengisytiharkan tarikh 9 Mei ini sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.

Berdasarkan daftar pemilih, terdapat 14,940,624 pemilih biasa dan 300,255 pengundi awal dan 3,563 pe­ngundi tidak hadir luar negara.

Penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua calon yang terpilih, manakala bagi yang tidak terpilih inilah masanya untuk menunjukkan kesetiaan kepada parti dengan turun padang dan membantu memberi soko­ngan kepada calon di kawasan masing-masing.

Walaupun, terdapat beberapa individu yang ‘melatah’ kerana tidak terpilih sebagai calon, bagi penulis kepentingan parti adalah lebih utama. Bermula hari ini, segenap jentera parti perlulah dikerahkan untuk turun padang bertemu dengan para pengundi.

Perang poster yang telah bermula sejak beberapa minggu lalu pasti lebih hangat. Berdasarkan pengalaman penulis yang terlibat membuat liputan pada PRU lepas, perang poster ini bukan sahaja menambah kemeriahan PRU, malah menjadi sumber utama dalam memperkenalkan calon tersebut.

Bagi muka baharu, pemasangan bendera, poster, sepanduk, banting, kain pemidang gergasi dan rekaan-rekaan unik membolehkan para pengundi me­ngenalinya.

Bagaimanapun, bagi para penyokong setiap parti yang bertanding, berkempenlah secara berhemah dan menghormati sesama sendiri. Ini penting kerana, setiap PRU pihak berkuasa seperti polis menerima banyak laporan seperti kes koyak bendera, patahkan tiang bendera dan memasang tiang bendera di kawasan atau premis yang tidak dibenarkan.

Bagi melancarkan PRU kali ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah dalam satu kenyataan akhbar memberitahu bahawa seramai 222 Pegawai Pengurus PRU-14 dilantik bagi tujuan pemantauan sepanjang tempoh rasmi berkempen dan 445 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya turut ditubuhkan bagi memantau perjalanan pilihan raya. 

Walaupun telah mengambil pendekatan yang terbaik bagi melicinkan perjalanan PRU kali ini, beliau tetap menyeru agar setiap calon atau parti politik yang bertanding supaya tidak berkempen dengan cara yang boleh menimbulkan hasutan, permusuhan, mengembangkan perasaan jahat dan sebagainya selaras dengan Seksyen 4A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bagi para pengundi pula, gunakanlah kesempatan PRU ini untuk turun mengundi pada 9 Mei ini. Pilihlah calon atau parti yang mampu membantu membangunkan kawasan anda dan pada masa sama boleh menyumbang ke arah kemajuan ekonomi, sosial dan kestabilan negara.