Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, polis menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.15 pagi daripada orang awam memaklumkan gegelung besi terjatuh daripada sebuah lori di kawasan tersebut.

“Pemandu lelaki warga tempatan itu sedang membawa muatannya dari Melaka menuju ke Rawang, Selangor dan ketika sampai di lokasi kejadian, dua gegelung besi yang dibawanya terjatuh di atas jalan raya.

“Kejadian tersebut telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira dari arah plaza tol Sungai Besi menghala ke pusat bandaraya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkefly menambah, anggota polis trafik yang tiba di kawasan kejadian membantu mengawal lalu lintas sementara tindakan mengalihkan muatan dilakukan.

“Kejadian tersebut tidak melibatkan kenderaan lain serta tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Saman telah dikeluarkan terhadap pemandu tersebut dan kerja-kerja mengalihkan gegelung berkenaan selesai kira-kira pukul 10 pagi,” ujarnya. - K! ONLINE