Pembatalan darjah kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II) kedua-dua pemimpin PAN berkuat kuasa bermula 6 Februari lalu.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Husam dan Wan Abdul Rahim hari ini memberitahu, mereka menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat memaklumkan perkara tersebut petang semalam.

“Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua mengembalikan ketandaan darjah kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Pengelola Istana Diraja Kelantan, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir pada pukul 10 pagi ini.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia tidak berbelah bahagi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V,” jelasnya.

Kenyataan bersama itu dibacakan oleh Wan Abdul Rahim dalam sidang akhbar di Pejabat PAN Kawasan Kota Bharu, di sini hari ini.  

Husam bagaimanapun tidak hadir kerana menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendengar keputusan kes saman fitnah. - K! ONLINE