Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penangkapan pemuda itu adalah hasil maklumat orang awam yang curiga dengan caranya yang mampu hidup dalam kemewahan dan berbelanja besar biarpun dalam usia yang muda.

Menurutnya, polis percaya suspek itu yang diberkas pada kira-kira  pukul 5.30 pagi Isnin lalu dipercayai baharu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di pulau ini kerana dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan dadah ke atasnya didapati negatif.

"Namun hasil siasatan mendapati suspek memang terlibat dalam kegiatan dadah dan merupakan seorang 'tokan' (pengedar dadah)  di pulau peranginan ini," katanya sambil menambah suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Beliau berkata rampasan dadah itu  adalah yang terbesar di Langkawi setakat ini setelah rampasan dadah seberat 2.4 kilogram dari seorang  lelaki berusia 46 tahun dipercayai pengedar dadah dua minggu lepas.

Mohd Iqbal berkata sehingga kini polis tidak menemui sebarang kaitan antara suspek berusia 23 tahun itu dengan pengedar yang diberkas dua minggu lepas namun polis sedang menyiasat rangkaian pengedaran dadah yang melibatkan suspek pengedar muda itu.

Sementara itu, Mohd Iqbal berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Langkawi juga turut menahan tiga lelaki berumur di antara 22 dan 29 tahun awal pagi ini untuk siasatan di bawah seksyen yang sama kerana memiliki heroin seberat 36.7 gram dan syabu seberat lima gram.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek ditangkap kira-kira pukul 4.30 pagi dalam satu serbuan di sebuah kawasan peranginan tepi pantai di sini yang dipercayai menjadi lokasi suspek-suspek ini mengambil dadah. - Bernama