Kita akan gariskan satu perjalanan yang dilihat mampu membawa ganjaran lebih baik bukan sahaja buat diri sendiri tetapi untuk seisi keluarga.

Biarpun perancangan itu nampak gah di atas kertas, namun ada ketikanya ia akan terpesong di tengah-tengah jalan. Apabila ia berlaku, kita tidak perlu panik menghadapinya.

Lapangkan dada dan tarik nafas panjang-panjang, duduk serta fikir sejenak tentang opsyen yang kita ada bagi mengatasi halangan tersebut.

Perlu disemat dalam diri bahawa panas tidak berpanjangan sepanjang masa kerana ada ketika­nya hujan akan turun membasahi bumi.

Setiap garisan dalam perjalanan hidup itu ada limitasinya kerana bukan kita seorang penentu semua perkara dalam kehidupan masing-masing. Ada faktor lain yang akan mempengaruhi sejauh mana ia boleh kekal lurus dan sempurna.

Toleh ke belakang dan fikirkan dalam usia kita sekarang ini apa yang sudah kita capai? Adakah setiap yang kita rencanakan itu berjaya dilakukan?

Kadangkala sebagai insan yang khilaf sentiasa berharap perkara-perkara baik berlaku dalam kehidupan kita sepanjang masa.

Membesar dalam keadaan baik, berjaya di menara gading, memperoleh pekerjaan yang hebat serta dinaikkan pangkat.

Dalam pekerjaan semua orang impikan kerjaya dan jawatan, namun ada ketikanya ia kelihatan seolah-olah menyebelahi kita tetapi pada saat-saat akhir terlepas daripada genggaman.

Biarpun ia bukan berpihak kepada kita adalah lebih baik untuk tidak menuding jari bahawa orang yang dinaikkan jawatan itu tidak layak dan sekadar tangkap muat.

Siapa kita nak menilai semua itu sedangkan pihak atasan lebih berhak menentukan sejauh mana kemampuan anda.

Jika kita tidak layak, cermin diri sebelum berhujah menyalahkan semua pihak yang kononnya telah membuat salah perhitungan dan hanya demi kepentingan masing-masing.

Pada mata sendiri mungkin kita layak, namun ia belum tentu sehaluan dengan pandangan pihak di atas.

Oleh itu, ketepikanlah ketidakpuasan hati kerana pada hari sudah memasuki senja kita tetap ada tanggungjawab untuk dilaksanakan dan anggaplah setiap garisan ada penghujungnya.

Bukan rezeki untuk melihat diri berada di puncak dan apa jua yang berlaku itu pasti ada hikmah serta tidak perlulah berdengki dengan rakan-rakan lain yang diberi tanggungjawab baharu dan bukan kita.

Tepuk dada tanya selera kepada soalan sinis ini, hebatkah kita untuk bergelar bos jika diri sendiri tidak boleh bergaul dengan orang lain dan hanya pilih bulu.

Pendek kata, jangan asyik nampak silap orang lain sahaja sedangkan kita sendiri berjalan seperti ketam.

Assalamualaikum dan selamat maju jaya buat rakan-rakan penulis yang ‘bersara’ awal melalui Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) serta buat mereka yang masih berjuang. Maaf disusun semoga bertemu lagi.