"Kementerian sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan untuk kepentingan semua pihak. Kementerian juga sentiasa mengalukan cadangan, pandangan dan segala penambahbaikan  untuk kebaikan semua termasuk guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gelang Patah, di sini hari ini ketika diminta mengulas gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) untuk Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling baharu berhubung kaedah hukuman yang dibenarkan ke atas pelajar.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata kajian semula perlu dibuat ke atas Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8 yang dikeluarkan bagi memberi maklum kepada guru tentang bentuk hukuman yang dilarang ke atas pelajar yang melakukan salah laku di luar Peraturan-Peraturan Pelajaran seperti berkeliaran dan bising di dalam kelas.

Berhubung lawatan ke SJKT Gelang Patah yang menyaksikan seramai 37 murid memasuki alam persekolahan Tahun Satu, Kalamanathan berkata beliau berpuas hati dengan kerjasama rapat antara pihak sekolah , Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS).

"Sebagai  contoh pengurusan sekolah telah menggunakan bantuan diberikan  kerajaan dengan menyediakan infrastruktur lengkap seperti menaik taraf bumbung, membaiki  tandas dalam usaha mewujudkan sesi pembelajaran kondusif untuk murid," katanya. - Bernama