Pemiliknya, Chong Kim Kong, 60, berkata, konsep tanaman organik itu telah digunapakai pihaknya sejak 30 tahun yang lalu, namun kaedah tersebut diperluaskan dengan penanaman 320 batang pokok durian di kawasan seluas 12 hektar di dusun berkenaan.

Katanya, kini pihaknya mengusahakan pelbagai jenis durian termasuk D24, D123, D99, D13, Musang King, Kanyou dan Udang Merah, selain buah-buahan lain antaranya cempedak, pisang, nanas serta rambutan.

"Konsep tanaman organik ini digunakan bagi menghasilkan buah dengan kualiti terbaik meskipun kosnya agak tinggi.

"Baru-baru ini kami telahpun membuat permohonan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) dan berharap dapat menjadi pengusaha dusun organik yang diiktiraf dengan hasil tani berkualiti tinggi di negeri ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kim Kong berkata, perniagaan yang diuruskan bersama ahli keluarganya termasuk isteri, Diane Leong, 58, itu bagaimanapun tidak memfokuskan kepada pengeksportan hasil ke luar negara sebaliknya menggalakkan penggemar durian menikmati raja buah itu di Gapam Eco Farm. 

"Saya lebih berminat untuk menarik pelancong khususnya dari luar negara seperti Korea, Hong Kong, Taiwan dan China datang ke dusun menikmati durian organik yang lebih segar dan beraroma di sini. 

"Kedudukan Gapam Eco Farm yang berdekatan bandar dan plaza tol juga diharap menjadi nilai tambah dalam menjadikan dusun ini sebagai pelancongan tani (agro pelancongan), secara langsung turut membantu menggalakkan kemasukan pelancong ke negeri ini" katanya. 

Katanya, setakat ini, dusun durian itu mempunyai lebih 10 jenis klon pokok durian dengan sebatang pokok yang sihat berpotensi menghasilkan hingga 300-500 biji atau lebih 500-800 kilogram, bagi satu musim antara hujung Mei hingga awal Ogos dan Disember hingga Februari. 

Ketika ditanya mengenai kelebihan durian organik, Kim Kong memberitahu, durian organik itu tidak akan menyebabkan badan berasa panas atau kulit beruam sekiranya dinikmati dalam kuantiti yang banyak seperti buah biasa. 

"Gapam Eco Farm ini menerima tempahan untuk acara berkumpulan bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang dengan pakej istimewa yang menawarkan sajian bufet, pencuci mulut durian dan sate ayam organik. 

"Bagi mereka yang ingin mengadakan lawatan dusun, kami menyediakan pakej termasuk manisan durian, air kelapa dan buahan-buahan segar untuk dinikmati," tambahnya sambil menjelaskan harga raja buah itu bergantung kepada jenis dan nilai pasaran. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Mohd. Rasydan Mohd. Yusop, berkata, pihaknya sedang dalam proses mengeluarkan sijil myOrganic kepada Gapam Eco Farm, sekali gus menjadikannya dusun durian organik pertama di negeri ini. 

"Kita menyambut baik kaedah organik yang digunakan, namun kos baja yang digunakan mereka agak tinggi dan pihak Jabatan Pertanian akan cuba membantu menyediakan khidmat bimbingan bagi membuat baja sendiri," katanya. - K! ONLINE