Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan memandang berat terhadap tahap kebersihan di kawasan tersebut dan meminta para peniaga mengekalkan tahap kebersihan yang optimum sebelum dan selepas perniagaan dijalankan.

“Kebanyakan PBT mempunyai peruntukan Undang-Undang Kecil bagi menyelia pasar malam atau pasar sehari yang mana ini termasuk dari segi perlesenan, pemilihan kawasan perniagaan dan juga kebersihan.

“PBT perlu mengikut tatacara yang telah digariskan oleh undang-undang ini bagi memastikan para peniaga tidak mengotorkan kawasan. Tindakan yang boleh diambil oleh PBT adalah mengkompaun, menggantung, menarik balik atau membatalkan lesen perniagaan bagi peniaga yang tidak menjaga kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan Ke-72 (MNKT Ke-72) yang berlangsung di Dewan Persidangan ICU, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Sehubungan itu, Zuraida berkata, pihak kementerian sedang menyediakan draf Garis Panduan Pasar Malam dan Pasar Harian bagi menyeragamkan pengurusan pasar tersebut di seluruh negara. - K! ONLINE