Itu  pendedahan terkini  seorang lagi aktres terkenal Hollywood, kali ini oleh pemenang Oscar, Natalie Portman  tentang nasib malang golongan pelakon wanita yang menjadi mang­sa kerakusan seks kaum lelaki yang menguasai organisasi perfileman terbesar di dunia itu.

“Seorang penerbit filem pernah menjemput saya menaiki jet peribadinya. Hanya kami berdua di dalam jet yang terdapat sebuah katil itu,” ujar Portman kepada majalah Porter.

Walaupun tidak berlaku sebarang gangguan  seksual terhadap dirinya pada ketika itu, tetapi Portman mengakui dia mulai cuak, ketakutan dan dengan pantas menyuarakan  kepada penerbit yang tidak didedahkan namanya itu bahawa ‘keadaan itu (berdua-duaan di dalam jet yang dilengkapi katil) membuatkan dirinya berasa tidak selesa’.

Portman bernasib naik kerana pendirian dirinya itu dihormati tetapi tidak kepada sebilangan aktres terkenal Hollywood termasuk Uma Thurman yang akhirnya baru-baru ini mengakui dirinya turut menjadi mangsa gangguan seksual  penerbit dan eksekutif terkemuka, Harvey Weinstein. 

“Dia pernah menolak saya dan cuba mendedahkan tubuhnya secara seksual,” ujar Thurman kepada akhbar New York Times tentang Weinstein yang pernah bekerjasama dengannya untuk filem Pulp Fiction.

Pada Oktober tahun lepas, Thurman dilaporkan melahirkan kemarahan terhadap sekumpulan wanita termasuk aktres Rose McGowan  yang mendakwa telah menjadi mangsa gangguan seksual Weinstein.

Weinstein yang mencipta nama menerusi industri filem bebas sebelum dilantik sebagai penaung bersama dua syarikat gergasi filem Hollywood, Miramax Film dan The Weinstein Company itu dituduh telah membuat gangguan seksual  sepanjang tiga dekad terhadap sekurang-kurangnya 84 pelakon wanita termasuk aktres terkenal Angelina Jolie, Salma Hayek dan Gwyneth Paltrow.

Dalam kes McGowan, Weinstein didakwa telah merogol pelakon filem Scream itu selain beberapa aktres lain termasuk Asia Argento (xXx) dan Annabella Sciorra (The Hand That Rock the Cradle).

Selain Weinstein yang kemudian dilucutkan jawatannya itu dan kes dakwaan terhadapnya yang masih dalam siasatan di Los Angeles, New York dan London, beberapa nama karyawan lelaki terkenal Hollywood turut dituduh me­lakukan gangguan seksual terhadap wanita termasuk dua aktor tersohor, Ben Affleck dan Kevin Spacey. 

Ternyata di sebalik dunia glamor Hollywood, wujud ‘neraka’ dan dalam kes di Hollywood itu siapa sangka ia turut menimpa aktres gred A seperti Jolie, Paltrow, Hayek dan Thurman.

Bagaimana pula dengan industri perfileman Malaysia? Bagi penulis, jangan mudah tertipu dengan segala fantasi yang dicipta oleh sinar kemilau glamor tersebut. 

Jika hal tersebut boleh berlaku di Hollywood, tidak mustahil ia boleh berlaku di negara yang lebih banyak didedahkan dengan laporan penderaan terhadap golongan kanak-kanak termasuk oleh ibu bapa kandung sendiri itu.