Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun tong air bukan terletak di bawah harga barangan kawalan namun peniaga tidak akan terlepas sama sekali.

Katanya, peniaga seharusnya tidak mengambil kesempatan ketika rakyat menghadapi kesulitan bekalan air.

"Sekiranya pengguna mengetahui berlaku kenaikan harga itu harus segera memberikan aduan dengan maklumat spesifik iaitu premis dan resit pembelian.

"Bagi kami masa 24 jam selepas terima aduan dengan penguat kuasa akan sampai ke premis itu," katanya pada sidang akhbar selepas program Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bizfair di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 73 premis telah diperiksa di sekitar Selangor setakat ini namun sebarang tiada kenaikan harga dilaporkan pihaknya.

Ujarnya, harga tong air ketika ini ditentukan berdasarkan penawaran dan permintaan susulan tidak termasuk harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

"Kalau berlaku kenaikan melampau yang biasa dijual pada harga RM30 naik kepada RM180 contohnya, premis itu akan dilawati pegawai penguat kuasa kementerian.

"Bagusnya bahagian penguatkuasa ini, mereka menjalankan operasi tanpa menunggu arahan menteri berikutan tahu prosedur operasi standard (SOP) dan peka serta sensitif apa yang berlaku di kalangan masyarakat seperti isu air sekarang," katanya. - K! ONLINE