Gandingan BN dan Pas yang cukup erat dan mesra sepanjang kempen PRK DUN itu sememangnya dicemburui pemimpin serta penyokong Pakatan Harapan (PH).

Malah pemimpin PH dilihat seolah-olah takut pada bayang-bayang sendiri apabila melihat keakraban BN dan Pas atas nama penyatuan ummah memandangkan ia boleh menggugat hasrat mereka untuk menjatuhkan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden di lubuknya sendiri.

Pelbagai kecaman yang dilontarkan oleh pemimpin PH termasuk daripada DAP yang melabelkan kerjasama BN dan Pas sebagai Taliban pada kempen PRK itu sebenarnya telah membangkitkan lagi semangat ahli dan pemimpin kedua-dua parti Melayu terbesar itu untuk bekerja lebih keras.

Berdasarkan kepada rekod perkhidmatan Mohamad yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ begitu cemerlang sepanjang menjadi wakil rakyat DUN berkenaan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 pada 2004 sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 25 Mac 2004, beliau dilihat mempunyai peluang lebih cerah memenangi kerusi tersebut berbanding tiga lagi pencabarnya pada PRK DUN tersebut.

Tiga calon lain yang mencabar Mohamad ialah Dr. S. Streram yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan R. Malar serta Mohd. Nor Yassin yang bertanding atas tiket Bebas.

Jumlah pemilih yang berdaftar bagi kerusi DUN Rantau adalah 20,472 pengundi. Mengikut pecahan kaum, pengundi Melayu merupakan komposisi pengundi terbesar iaitu 51.75 peratus, diikuti kaum India (27.53 peratus) dan Cina (18.81 peratus).

Penulis melihat peralihan sokongan pengundi Melayu kepada BN sejak akhir-akhir ini semakin meningkat, apatah lagi selepas BN dan Pas saling bersepakat menjalinkan kerjasama untuk berhadapan dengan kerajaan PH.

Situasi tersebut dapat diukur selepas BN mencipta kemenangan bergaya pada PRK Parlimen Cameron Highlands dan diikuti DUN Semenyih.

Aura kepimpinan Tok Mat bukan sahaja menarik sokongan orang Melayu, malah menerujakan pengundi Cina dan India.

Bagaimanapun, Mohamad yang merupakan seorang pemimpin yang selalu merendah diri tidak menganggap usaha mempertahankan kerusi DUN Rantau sebagai satu tugas mudah.

Menurut Mohamad, beliau perlu bekerja lebih keras dan berhati-hati untuk berhadapan dengan calon daripada PH.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa jentera parti itu dari seluruh negara diarah turun berkampung di DUN Rantau.

PH pula didapati telah melakukan kempen kotor pada kempen PRK itu dengan melancarkan serangan peribadi terhadap Mohamad pada saat-saat akhir.

Pengundi di kawasan tersebut didapati kecewa terhadap kerajaan PH yang terbukti gagal menunaikan manifesto yang ditaburkan pada PRU-14 lalu selepas hampir setahun membentuk kerajaan baharu.

Selamat mengundi!