Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Awang Shafie Awang Ahmad, galeri yang asalnya bangunan pelombong bijih yang dinaik  taraf,  dibaik pulih melalui peruntukan kerajaan negeri bermula akhir tahun lepas.

Galeri ini akan diisi dengan maklumat lengkap mengenai sejarah Gua Kelam, batu-batuan, spesies tumbuhan unik di Perlis serta sampel haiwan diawet yang sesuai dijadikan bahan pendidikan, katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Perlis yang menguruskan gua tersebut merancang mengadakan aktiviti menarik termasuk elemen eksplorasi dan interaktif bagi menarik golongan muda melawatnya.

"Keterangan penting seperti usia dan formasi batu yang membentuk Gua Kelam dipamerkan supaya pengunjung dan pelajar khususnya dapat membandingkan gua itu dengan kewujudan dinosaur dan secara tidak langsung menjadi bahan pendidikan," kata Awang Shafie. - Bernama