Sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang telah diadakan di kawasan Hulu Kelantan sebagai inisiatif untuk menggalakkan rakyat memasang bendera kebangsaan di premis masing-masing.

Program anjuran Jabatan Penerangan Kelantan bersama Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang itu turut disertai agensi kerajaan persekutuan lain.

Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Azhar Ismail berkata, pada tahun ini sebanyak 5,000 Jalur Gemilang telah diagihkan kepada pelajar sekolah dan rakyat di negeri ini.

"Kita mahu menerapkan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar kerana mereka generasi baru yang perlu dan wajar bagi mereka memahami pengertian kemerdekaan itu.

"Bagi menunjukkan nilai sayangkan negara kita harus mengibarkan Jalur Gemilang dan bukan hanya terhad pada bulan Julai hingga September setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Gua Musang di perkarangan Bangunan Kerajaan Persekutuan Gua Musang, hari ini.

Program tersebut dirasmikan Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf. - K! ONLINE