Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, sudah sampai masanya skim tangga gaji bagi pasukan keselamatan itu dikaji semula terutamanya bagi anggota yang berpangkat rendah dalam usaha menarik golongan bukan Melayu menyertainya.

Beliau berkata, meskipun pelbagai kempen dijalankan bagi menarik dua kaum itu menyertai pasukan keselamatan, namun akibat masalah itu (tangga gaji yang rendah) gagal menarik minat mereka menyertai ATM.

"Negara kita tidak mempunyai kerahan tenaga seperti negara lain dan khidmat dalam pasukan keselamatan ini adalah khidmat pilihan. 

"Mungkin masalah tangga gaji kecil menyebabkan mereka (Cina dan India) kurang minat menyertai tentera. Oleh itu, kerajaan perlu fikir tangga gaji yang lebih sesuai kepada anggota keselamatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Selangor Agro Market, Pameran Kerjaya dan Promosi ATM di MARDI Jalan Kebun di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyeru pesara tentera di bawah kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) melibatkan diri dalam sektor pertanian sebagai usaha menampung kos sara hidup masing-masing.

Menurutnya, sektor pertanian berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan yang lumayan sekiranya dilaksanakan secara terancang dan komprehensif. 

"Kita mahu pesara (tentera) yang tidak berpencen dan masih lagi bekerja serta pesara yang berpencen tetapi pencennya kecil dan berada dalam kumpulan B40 supaya meneroka bidang pertanian. 

"Ini kerana kita lihat bidang pertanian yang diusahakan secara komersial dan apabila mereka terlibat sebagai usahawan tani, tidak mustahil hasrat untuk menjanakan pendapatan yang lumayan akan menjadi kenyataan," ujarnya. - K! ONLINE