Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai gaji median dan upah bulanan yang diterima pekerja di negara ini meningkat dengan kadar 7.7 peratus setahun kepada RM2,160 berbanding RM2,000 pada tahun 2016.

"Bagi purata gaji dan upah bulanan pula meningkat kepada RM2,880 berbanding RM2,657 pada tahun sebelumnya dengan kadar pertumbuhan 8.1 peratus di mana peningkatan gaji dan upah pada 2017 adalah selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan 5.9 peratus.

"Peningkatan ini selari prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan serta jumlah eksport mencatatkan pertumbuhan sebanyak 20.3 peratus iaitu RM935.5 bilion," katanya ketika membentangkan Laporan Prestasi Ekonomi Negeri dan Statistik Gaji dan Upah Malaysia 2017 di sini hari ini.

Menurut Mohd. Uzir, pekerja lelaki dan perempuan mencatatkan pertumbuhan tinggi bagi gaji median dan upah bulanan dengan masing-masing 8.2 peratus dan 7.0 peratus manakala dari segi purata gaji dan upah bulanan, pekerja perempuan merekodkan kadar pertumbuhan lebih tinggi iaitu 9.1 peratus manakala pekerja lelaki 7.5 peratus.

"Kadar pertumbuhan gaji median dan upah bulanan bagi pekerja di bandar pula meningkat 6.6 peratus setahun kepada RM2,660 sebaliknya gaji pekerja di luar bandar meningkat 3.6 peratus kepada RM1,400. 

"Pertumbuhan bagi purata gaji dan upah pekerja di kawasan bandar dan luar bandar pula adalah lebih tinggi masing-masing 7,7 peratus (RM3,038) dan 6.3 peratus (RM2,040)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pekerja yang berkerja di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor didapati menerima pendapatan bulanan tertinggi di seluruh negara pada tahun lalu.

Jumlah pendapatan purata yang diperolehi oleh pekerja di Putrajaya ialah yang paling tinggi iaitu sebanyak RM4,220 sebulan, diikuti Kuala Lumpur (RM3,969), Selangor (RM3,454), Johor (RM2,932), Sarawak, (RM2,874), Labuan (RM2,849), Pulau Pinang (RM2,672), Melaka (RM2.565), Terengganu (RM2,522). - K! ONLINE

Seterusnya Kedah mencacatkan pendapatan purata terendah iairu RM2,193 seterusnya Perak (RM2,281), Kelantan (RM2,319), Pahang (RM2,425), Sabah (RM2,507), Perlis (RM2,465) dan Negeri Sembilan (RM2,513).