Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan memindahkan gajah liar itu ke pusat konservasi gajah bagi mengelakkan konflik antara haiwan liar itu dan manusia daripada berulang.

"Kejadian seumpama ini berlaku kerana habitat haiwan itu telah diganggu oleh manusia dan kita cuba elakkan konflik antara manusia dengan haiwan melalui cara ini (pemindahan ke pusat konservasi)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian FRIM Incorporated (FRIM Inc) di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Wan Junaidi mengulas kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu yang menyebabkan mangsa, M. Paramanazan, 69, dari Sungai Siput Utara, Perak mengalami patah tangan kiri, patah tulang rusuk kiri, luka pada lengan kanan dan juga dipercayai patah tulang leher.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menceroboh hutan bagi tujuan pertanian kerana ia akan mengganggu habitat haiwan liar. - Bernama