Kejadian itu menyebabkan penduduk bimbang dengan keselamatan ahli keluarga mereka apabila gajah liar terbabit kerap berkeliaran di kawasan kediaman awal pagi setiap hari. 
    
Seorang penduduk Orang Asli yang mengusahakan kebun pisang itu, Zul Hek, 38 berkata, mereka mengalami kerugian teruk apabila pisang yang sedang berbuah musnah.
 
Katanya, kebun pisang itu diusahakan tiga tahun lalu dan ini merupakan kali kedua dimusnahkan gajah liar. 
    
“Kaum Orang Asli hanya mengharapkan kepada hasil pisang sebagai sumber pendapatan.

“Kami sering terdengar bunyi gajah di kawasan berhampiran rumah tetapi takut nak keluar kerana bimbang berdepan dengan kejadian tidak diingini. Apabila bangun keesokan paginya (kelmarin) habis pisang dan tebu musnah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Hussin Selik, 51, pula berkata, masalah itu sudah dilaporkan kepada Jabatan  Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tetapi belum ada tindakan.
    
Katanya, gajah terbabit memasuki kawasan kediaman penduduk hingga tinggal dalam ketakutan untuk keluar rumah setiap hari.
    
“Kami berharap pihak Perhilitan segera memasang perangkap dan membuat kawalan di kawasan yang diancam gajah.

“Selain pokok pisang, berpuluh pokok getah dan tebu yang baharu dua tahun ditanam juga habis dipijak gajah berkenaan,” katanya. - K! ONLINE