Bangkai gajah berusia lingkungan tiga hingga empat tahun itu ditemui pasukan renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah ketika melakukan rondaan kawalan gajah di kawasan perkampungan itu.

Pegawai Perhubungan Awam jabatan, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata, bangkai gajah tersebut ditemui pada pukul 7.40 pagi kemudian dibawa untuk proses bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecedaraan pada bahagian kanan abdomen gajah tersebut.

"Pasukan bedah siasat turut menemui kelongsong peluru dalam abdomen mamalia itu. Usus gajah itu juga terkoyak akibat peluru tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, gajah itu turut mengalami pendarahan dalaman yang teruk sehingga menyebabkan kematian haiwan itu.

Tambahnya, maklumat lanjut mendapati gajah itu telah berada di kawasan perkampungan tersebut sejak sebulan lalu. - K! ONLINE