Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, gajah yang dianggarkan berusia 30 tahun itu terlebih dahulu dijinakkan oleh dua ekor gajah betina bernama Abot dan Rambai yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang. 

“Gajah jantan tersebut yang tinggal di kawasan berhampiran R&R menjadikan lokasi itu sebagai tempat mencari makan kerana terdapat tumbuhan yang ditanam di situ selain makanan lain. 

“Bagaimanapun, gajah seberat tiga tan itu tidak pernah membuat kacau atau mencederakan orang awam namun kita bimbang keselamatan orang ramai yang melalui kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Wan Shaharuddin, haiwan liar itu juga menimbulkan ketakutan kepada para pengunjung yang berhenti di kawasan tersebut. 

“Sebelum sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, kita mengambil keputusan untuk memindahkannya. 

“Operasi pemindahan yang bermula pada pukul 9 pagi itu mengambil masa selama hampir tiga jam oleh 30 anggota terdiri daripada anggota Perhilitan, Pusat Konservasi Gajah, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia,” katanya. 

Katanya, gajah tersebut kini dibawa ke Hutan Sungai Deka, Terengganu sebagai habitat baharunya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa mengesahkan operasi pemindahan gajah itu berjalan lancar tanpa sebarang bahaya mahupun kecederaan terhadap anggota dan orang awam. - K! ONLINE