Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, Jabatan Perhilitan terpaksa mengikat dua kaki bahagian kanan gajah di tepi jalan tersebut memandangkan ia berada di kawasan yang bercerun selain boleh mengancam nyawa orang ramai. 

“Perhilitan terpaksa menambatnya di kawasan yang mempunyai pokok besar di tepi jalan disebabkan faktor muka bumi kawasan tersebut. 

“Operasi menangkap gajah tersebut juga dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh pasukan Perhilitan dan ia akan dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai esok,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Ismail, Perhilitan menafikan pihaknya telah melakukan penganiayaan dengan merantai kaki gajah tersebut sebaliknya terpaksa melalukannya atas dasar gajah liar itu boleh mendatangkan risiko kepada orang awam. 

“Perhilitan tidak dapat memindahkan gajah tersebut dengan segera memandangkan aliran trafik yang tinggi ketika proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sedang berlangsung. 

“Pihak Perhilitan bagaimanapun telah melakukan pemantauan berterusan secara 24 jam setiap hari termasuk memantau kesihatan, keperluan makanan dan minuman serta diet gajah berkenaan,” katanya. 

Menurut Ismail, tindakan merantai kaki gajah itu juga dilakukan untuk keselamatan gajah itu sendiri bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. 

Katanya, pemindahan gajah tersebut ke habitat yang lebih sesuai akan dilakukan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan pada esok. - K! ONLINE