Dimaklumkan, gajah yang berusia antara tujuh hingga sembilan tahun itu mempunyai kesan luka lebih kurang lima sentimeter pada bahagian kaki kanan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar Sabah, Siti Nur'ain Ampuan Acheh berkata, sehingga kini pihaknya masih menjalankan pemantauan bagi memastikan haiwan itu sembuh sepenuhnya.

"Kawasan luka pada kaki gajah terbabit dilaporkan beransur pulih selepas diberikan rawatan segera.

"Selepas ini, gajah berkenaan akan dipindahkan ke Santuari Gajah Borneo untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai hasil bedah siasat terhadap bangkai anak gajah yang ditemui terapung di Sungai Kinabatangan berhampiran Hutan Simpan Pangi pada Selasa lalu, Siti Nur'ain memberitahu, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang kecederaan fizikal.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati gajah itu mengalami gastritis ulseratif yang mengakibatkan kehilangan banyak darah dalam usus.

"Sampel organ dalaman telah diambil untuk analisis dan punca kematian akan dikenal pasti selepas keputusan analisis diperoleh," jelasnya lanjut. - K! ONLINE