Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohd. Hasdi Husin berkata, kumpulan kecil gajah antara lima hingga 10 ekor akan bertindak menceroboh kebun buah-buahan penduduk terutama yang terletak di pinggir hutan ketika mencari makanan.

"Justeru, kami mengingatkan penduduk terutama yang mempunyai kebun buah-buahan di kawasan gajah merayau supaya berhati-hati ketika memasuki kebun kerana dibimbangi terserempak dengan gajah.

"Kami memohon supaya penduduk melaporkan segera penemuan gajah di kawasan mereka kerana bimbang haiwan tersebut akan bertindak agresif sekali gus menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam perkembangan terbaru, Mohd. Hasdi berkata, dua ekor gajah liar yang masing-masing jantan dan betina seberat dua tan berjaya ditangkap Perhilitan Kelantan di Kampung Jerek dan Kampung Salor di Jeli semalam. - Bernama