Ini bermakna, setiap hari hampir 20 orang maut di seluruh negara atau satu kematian bagi setiap 78 minit. Ia satu angka yang menyedihkan dan menakutkan kita semua.

Kegagalan kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan selama ini diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi bulan lalu. Katanya, semua pihak kena akui kegagalan itu dan mengambil serius perkara tersebut kerana beliau tidak mahu tahun 2018, statistiknya akan naik sehingga 8,000 orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya.

Kempen seperti ‘Anda Cermat Jiwa Selamat’, ‘Utamakan Keselamatan Jalan Raya’ dan ‘Tali Pinggang Keledar di Belakang Bukan Hiasan’ sudah tidak sesuai digunakan dalam usaha mendidik pemandu terutama orang muda.

Pendekatan baharu secara holistik dan lebih tegas bermula daripada pemandu sehingga pembangunan infrastruktur jaringan jalan raya perlu dilaksanakan segera bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik. Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap berbudi bahasa tetapi tidak ketika memegang stereng dan menunggang motosikal. Kelajuan maksimum 110 kilometer sejam di lebuh raya dianggap sudah tidak sesuai lagi dengan kenderaan yang dipandu mereka.

Kata mereka, apa guna beli kereta mewah seperti BMW, Audi atau Mercedes-Benz tetapi pandu kurang daripada 110 kilometer sejam. Ada pemandu kereta kompak pun memandu lebih 140 kilometer sejam di lebuh raya. Kelajuan melampau ibarat menempah maut buat diri sendiri dan juga orang lain. Seseorang pemandu sukar mengawal kenderaan jika tayar tiba-tiba pancit atau mengantuk ketika sedang memecut laju.

Disebabkan itu, penguatkuasaan tegas menerusi penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya dan laluan yang berisiko tinggi berlaku kemalangan wajar dilaksanakan. Pemandu yang melanggar had laju patut dikenakan hukuman berat.

Daripada jumlah kemalangan pada tahun lalu, penunggang motosikal  mencatat jumlah tertinggi iaitu 670,935 kes manakala kereta (135,121); pacuan empat roda (48,907), lori (35,064) dan bas (9,462). Berdasarkan jumlah itu, tumpuan perlu diberikan kepada penunggang dan pembonceng motosikal yang lebih terdedah kepada risiko maut.

Setiap hari ketika penulis ke pejabat, kelihatan ramai penunggang motosikal termasuk pasangan suami isteri sedang menuju ke tempat kerja mencari rezeki di ibu kota. Sekiranya nyawa pasangan suami isteri itu berakhir di atas lebuh raya, apakah akan terjadi kepada anak-anak mereka?

Penunggang motosikal tiada pilihan lain terpaksa berkongsi jalan dengan kereta, bas, lori dan treler. Tiada laluan khas yang disediakan kecuali beberapa lebuh raya. Kadar kemalangan boleh dikurangkan jika pemandu mengubah sikap yang lebih mematuhi peraturan.

Sikap seseorang pula boleh berubah jika tindakan penguatkuasaan yang lebih berat dan tegas diambil. Namun, infrastruktur dan tahap keselamatan jalan juga perlu dipertingkatkan seiring dengan penambahan bilangan kenderaan setiap tahun.