Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah berkata, rakyat sedang menilai pencapaian kerajaan dan sekiranya ada yang gagal, rakyat mahu tahu apakah punca kegagalan itu.

"Adakah kesalahan itu patut diletak pada kerajaan Pakatan Harapan ataupun sebaliknya, masalah itu berpunca daripada kerajaan terdahulu yang tidak telus.

"Memindahkan beban keseluruhan kegagalan itu pada kerajaan baru bukanlah satu sikap yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu Program Jom Ngoca ke Sawah yang dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). 

Beliau berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan medium yang sesuai untuk menyampaikan kepada rakyat tentang kemajuan dan pencapaian yang telah dilaksanakan kerajaan.

"Perkara ini masih lagi dibincangkan tetapi itu satu pandangan yang baik, mungkin kementerian akan memainkan peranan yang bersesuaian bagi menerangkan kedudukan berkenaan pencapaian kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari," katanya.

Sementara itu, kira-kira 30 pelatih AADK dan masyarakat setempat bersama-sama merasai kemeriahan mengoca di sawah padi.

"Ngoca", merupakan dialek Negeri Sembilan bermaksud tangkap ikan pakai tangan yang merupakan satu aktiviti yang tidak asing lagi di negeri ini.
Eddin Syazlee berkata beliau berharap aktiviti seperti ini dapat dianjurkan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan, disamping memperkenalkan budaya masyarakat lama kepada generasi baru.

"Penglibatan pelatih-pelatih AADK di dalam program ini juga dapat meningkatkan kesedaran dan keyakinan diri mereka untuk mengintegrasikan diri dalam masyarakat serta komuniti setempat," katanya. - Bernama